MALAYSIA
MOSTI dalam usaha jalin pendekatan diplomasi sains untuk kaji vaksin COVID-19

Jelas beliau, Malaysia juga disifatkan sebagai antara negara yang paling sesuai untuk menjalinkan kerjasama berhubung dengan negara-negara yang berpotensi untuk menghasilkan perubatan dan vaksin COVID-19.
Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) sedang dalam usaha mengadakan satu pendekatan diplomasi sains bagi melakukan kajian terhadap vaksin COVID-19.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata penyertaan Malaysia penting untuk memastikan negara terlibat pada peringkat ujian human trial dan mendapat vaksin secepat mungkin apabila ia sedia untuk digunakan kelak.
"Jadi di peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) dan MOSTI akan kenal pasti vaksin dan juga perubatan yang diperlukan dan juga melihat kepada pembangunan vaksin dan juga negara-negara yang sedang membangunkan vaksin itu.
"Maklumat ini akan dikongsi bersama Wisma Putra yang akan menggunakan diplomasi dan juga hubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara yang menghasilkan vaksin atau sedang membangunkan vaksin," katanya dalam sidang media secara langsung di Facebook rasmi kementerian tersebut, hari ini.
Turut hadir sama dalam sidang media tersebut Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Jelas Khairy, pihaknya telah mengenal pasti beberapa negara untuk menjalinkan bekerjasama, selain turut menerima cadangan daripada negara lain bagi membantu negara tersebut dalam ujian klinikal itu.
Antara negara tersebut termasuk China, United Kingdom (UK), Koera Selatan, India dan Bosnia.
Bagaimanapun, tegas Khairy, tiada jalan pintas untuk membangunkan vaksin, sebaliknya ia perlu melalui ujian saintifik dan pengesahan di peringkat antarabangsa.
“Tempoh pembangunan vaksin biasa adalah dalam 18-24 tetapi saya rasa kerana COVID-19 ini menjadi pandemik dunia, saya percaya proses ini akan dipercepatkan.
“Namun, tiada jalan pintas dan ia mesti melalui ujian klinikal dan disahkan di peringkat antarabangsa mengenai keberkesanannya,” katanya.
Jelas beliau, Malaysia juga disifatkan sebagai antara negara yang paling sesuai untuk menjalinkan kerjasama berhubung dengan negara-negara yang berpotensi untuk menghasilkan perubatan dan vaksin COVID-19.
Katanya, ia berikutan kepelbagaian bangsa di negara ini, selain terdapat tiga strain COVID-19 yang dikesan di Malaysia, setakat ini.
“Dari situ dengan negara-negara yang nak buat human trial di sini (Malaysia), Wisma Putra mungkin boleh menyakinkan negara tersebut, dan Malaysia boleh menjadi negara yang terdahulu menerima vaksin itu,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami