KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menyasarkan peruntukan RM100 juta pada tahun depan bagi tujuan pelaksanaan pelbagai projek di bawah Malaysia Grand Challenge (MGC).

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, inisiatif ini bagi menyokong dan membantu usahawan inovasi dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPTA) sekali gus dapat memberikan manfaat bukan sahaja kepada negara malah di peringkat antarabangsa. 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM80 juta untuk membolehkan kementerian mengalakkan pelaksanaan projek penyelidikan dan pembangunan berkaitan bidang sains, teknologi dan inovasi.

"Dana MGC ditawarkan kepada individu termasuk golongan belia berusia 18 tahun ke atas serta syarikat pemula (start-up company) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sementara pemohon bawah usia 18 tahun juga boleh dipertimbangkan (memohon) dengan syarat mendapat sokongan daripada badan-badan bertauliah selain memenuhi syarat ditetapkan,"  katanya dalam sidang media secara maya bersama bakat-bakat di  Agensi Inovasi Muda di Angkasa Malaysia (MYSA), pada Isnin.

Selain itu, MOSTI turut memberi sumbangan penghargaan RM3,000 kepada Siti Maryam Muzzamir dan RM3,000 lagi kepada gandingan Nur Liyana Syasya Mohd Zamuri Dan Mohd Fahad Saleem sebagai menghargai usaha mereka mencipta inovasi sehingga merangkul anugerah.

Siti Maryam mengharumkan negara dengan mencipta inovasi makanan haiwan ‘Yam 2.0’ daripada kulit udang dan siput, hingga merangkul tiga pingat emas dalam pertandingan inovasi dan reka cipta di Toronto, Kanada.

Manakala, Nur Liyana Syasya Dan Mohd Fahad, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing berusia 24 tahun, mencipta inovasi Smart Bandage dinobatkan pemenang 3M Inspire Challenge di peringkat Asia Tenggara.