KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membuka pintu seluasnya kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk menganjurkan program bagi mempromosikan budaya Malaysia.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, langkah itu penting bagi memastikan masyarakat khususnya pelancong asing memahami adat dan budaya rakyat berbilang bangsa serta agama di negara ini.

Menurutnya, tugas kementerian adalah menyokong usaha yang dibuat oleh persatuan ataupun pihak ketiga dalam menganjurkan lebih banyak program kesenian dan kebudayaan di seluruh negara.

“Sebagai contoh pada malam ini kita dapat menyaksikan kerjasama yang baik antara Persatuan Dewan Himpunan Cina (KLCAH), Persatuan Mencegah Dadah Kebangsaan (Pemadam) dan persatuan lain bagi menganjurkan Pesta Kuih Bulan dan Tanglung,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penganjuran Pesta Tanglung dan Kuih Bulan di Jalan Petaling, di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Presiden KLCAH, Datuk Seri KK Chai; Bendahari Kehormat Pemadam Kebangsaan, Datuk Sohaimi Shahadan dan Presiden Persatuan Kesenian Tanglung Malaysia, Datuk Ang Say Tee.

Sebanyak 1,000 kuih bulan dan 1,000 tanglung diagihkan kepada kanak-kanak, ibu tunggal dan anak yatim yang menghadiri program itu.

Khairul Firdaus berkata, program yang diadakan dengan kerjasama sebegini membawa intipati dan matlamat lebih bermakna tentang pemahaman pesta itu sendiri.

“Sebab itu kementerian beri peluang kepada persatuan dan NGO anjur program kebudayaan yang boleh bawa identiti kepada pelancong luar,” katanya.

Sementara itu, Khairul Firdaus menegaskan bahawa kerajaan tidak bercadang mewujudkan sebarang percukaian baharu untuk pelancong yang datang ke negara ini.

“Ada banyak perkara yang kita perlu lihat, ia bukan sekadar percukaian semata-mata tetapi apabila negara-negara lain melakukan perkara yang mungkin boleh mengurangkan minat pelancong hadir ke negara tertentu, sebenarnya ia memberikan peluang yang baik kepada negara kita.

“Yang ada ‘tourism tax’ berkaitan bilik hotel itu sahaja yang ada, tiada perancangan wujud percukaian baharu,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya menerima respons positif daripada pelancong luar yang berasakan Malaysia selamat untuk dikunjungi.

"Meskipun tahap hospitaliti pelancongan negara bukannya 100 peratus sempurna tetapi lebih daripada memuaskan," ujarnya. - Sinar Harian