PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memberi tumpuan kepada usaha bagi menyokong sektor perniagaan, memulihkan keyakinan pelancong luar dan domestik serta meningkatkan komunikasi dan koordinasi berkesan, sebagai penetapan prestasi 100 hari kementerian itu.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata perniagaan dalam sektor pelancongan, seni dan budaya perlu dipulihkan selepas ia menerima impak besar ekoran pandemik COVID-19, dengan pendekatan baharu.

"Kita sedia maklum, kita tidak mampu untuk mengembalikan sektor ini kepada keadaan sebelum berlakunya wabak COVID-19 dalam tempoh yang singkat, dan kita telah bercakap mengenai kerugian yang dihadapi dalam sektor pelancongan, seni dan budaya sepanjang tempoh 17 bulan lepas.

"Kini sudah tiba masa untuk kita menukar dan mencipta naratif yang baharu, terkini dan relevan dengan perkembangan semasa," katanya pada sidang media selepas memulakan tugas rasminya di MOTAC hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah mewujudkan emel [email protected] sebagai platform bagi pemain industri mengemukakan cadangan dan maklum balas bagi kementerian membantu kelangsungan mereka.

Nancy bersama 29 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Isnin lepas.

-- BERNAMA