SHAH ALAM: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM28 juta bagi program My Ramadan Experience 2024 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Selangor serta Putrajaya sepanjang bulan puasa tahun ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata pakej pelancongan yang julung kali diadakan itu melibatkan penginapan hingga lima hari empat malam di 32 hotel di sekitar ketiga-tiga negeri bagi mengetengahkan keunikan sambutan Ramadan di Malaysia.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 1,000 pakej telah berjaya dijual dan menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat.

"Sebanyak 1,000 pax (untuk pakej) sudah dijual, pastinya memang ada lebih banyak (akan) dijual kerana pakej ini dilancarkan dua bulan sebelum Ramadan. Apabila imam dari negara China ini balik, mereka turut bantu kita promosikan pakej ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan My Ramadan Experience di sebuah hotel di sini malam tadi.

Pada 10 Jan lepas, seramai 35 imam dari 14 wilayah di China tiba di negara ini bagi mengikuti program Lawatan Pengenalan Imam: Terokai Malaysia Mesra Muslim selama tujuh hari anjuran Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA) yang bertujuan menggamit 30 juta penduduk Islam dari negara itu ke Malaysia.

Menerusi sesi lawatan itu yang akan berakhir esok, mereka dibawa mengunjungi tujuh masjid ikonik dalam negara dan beberapa lokasi pelancongan terkenal termasuk dusun durian di Bentong, Pahang.

Khairul Firdaus juga berkata menerusi pakej pelancongan itu, pihaknya akan mengetengahkan keunikan sambutan Ramadan di Malaysia kepada pelancong muslim di seluruh dunia.

"Kita mahu masyarakat Islam seluruh dunia melihat Malaysia sebagai negara terbaik untuk dicontohi bukan kerana kita mempromosikan Islam semata-mata sebaliknya turut menunjukkan bagaimana kita mempraktikkan hidup dalam masyarakat berbilang kaum dengan budaya keharmonian yang begitu tinggi sekali.

"Selain itu, kemeriahan dan pelbagai aktiviti keagamaan di negara ini juga boleh menarik penglibatan mereka dalam mengenali sambutan Ramadan di Malaysia seperti aktiviti qiamullail, berbuka puasa beramai-ramai, bazar ramadan, tarawih serta bubur lambuk itu sendiri," katanya.

Beliau berkata sekiranya program itu berjaya, MOTAC akan melebarkan acara tersebut ke beberapa negeri lain yang turut berminat.

-- BERNAMA