PARIT BUNTAR: Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangi bergesel dengan sebuah lagi motosikal menyebabkannya terjatuh dalam kemalangan di Batu 6 Jalan Bharu, Kuala Kurau di sini petang Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 6 petang itu, Asaari Bastani, 76, beralamat di Parit Tok Kip, Kuala Kurau meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Suzuki Smash Revo secara sendirian dari arah Pekan Batu Lima, Simpang Lima menghala ke Kuala Kurau.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, bahagian kanan motosikal mangsa bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggangi seorang lelaki berusia 24 tahun yang ketika itu sedang memotong.

"Keadaan itu mengakibatkan kedua-dua penunggang terjatuh atas jalan raya.

"Dalam kemalangan ini, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lelaki terbabit mengalami cedera patah kaki kiri," katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Parit Buntar.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita asal: Motosikal bergesel, warga emas maut