MALAYSIA
Motosikal dirempuh, remaja lelaki maut dalam perjalanan ke tempat kerja

Seorang remaja lelaki maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Temiang berhampiran simpang Bukit Jong, awal pagi tadi. - Gambar fail
SEREMBAN: Seorang remaja lelaki maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Temiang berhampiran simpang Bukit Jong, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata dalam kemalangan kira-kira 6.45 pagi, mangsa yang berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja di sebuah stesen minyak menunggang motosikal jenis Honda RS dari arah Temiang menghala ke Seremban.
"Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Mercedes Benz dipercayai dipandu lelaki berusia 27 tahun hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar mangsa secara berdepan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Beliau berkata pemandu kereta itu melarikan diri dan meninggalkan kereta yang dipandunya.
Susulan itu, Mohamad Hatta berkata polis sedang memburu lelaki tersebut dan meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Insp G Sankar di talian 014-6000353 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami