KUALA LUMPUR: Keahlian Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan dianggotai 50 peratus pakar awam dan swasta, manakala kerajaan dan pembangkang masing-masing akan diperuntukan kuota 25 peratus keanggotaan.

Menerusi Memorandu Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang diterbitkan hari ini, kenaggotaan keahlian MPN merupakan antara perkara yang digariskan dalam Transformasi Pertama iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19.

Selain itu, kerajaan juga akan menaikkan had dana COVID-19 kepada RM110 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM45 bilion seperti yang telah diluluskan Parlimen pada tahun lalu.

“Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis COVID-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat, dan menyokong kelangsungan perniagaan.

“Peruntukan tambahan juga disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes COVID-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau “find, test, trace, isolate, support and vaccine” (FTTIS+V),” menurut dokumen yang diterbitkan di laman web Parlimen.

BACA: MoU Kerajaan dan PH: Satu titik permulaan baharu - Tengku Zafrul 

BACA: Lakar sejarah, enam perkara dimeterai dalam MoU kerajaan dan pembangkang

Selain Pemerkasaan Pelan COVID-19, lima perkara lain yang dipersetujui kerajaan dan pembangkang dalam MoU yang bersejarah itu ialah Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.

MoU bersejarah itu telah ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sementara pembangkang diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden Amanah), dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Presiden UPKO).

Dalam pada itu, MoU tersebut menyebut, kerajaan akan menambah kapasiti wad ICU termasuk penyelarasan penempatan pesakit dari hospital awam ke hospital swasta, selaras dengan pendekatan penggemblengan nasional “Whole of Nation”.

Selain itu, kerajaan akan menyalurkan bantuan RM10 bilion kepada 11 juta penerima dalam separuh tahun kedua 2021.

“Bantuan tunai ini akan diteruskan pada tahun 2022 untuk golongan B40 meliputi bantuan bersasar kepada golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan,” menurut dokumen itu lagi.

Bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), termasuk kumpulan informal dan mikro.

Kerajaan juga akan meningkatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan dengan mempercepatkan pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin menjelang September 2021.

Selain itu, kerajaan juga akan mengusahakan pengecualian bayaran faedah untuk moratorium pinjaman bank kepada kumpulan 50 peratus terbawah daripada seluruh rakyat Malaysia, untuk tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021.