Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan terus memperketatkan kawalan serta pemantauan di Pasar Borong Batu Berendam, Melaka lebih-lebih lagi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijadual bermula pada Isnin ini.

Yang Dipertua (YDP) MPHTJ, Shadan Othman berkata, ini bagi memastikan pasar segar yang sering menjadi tumpuan rakyat Melaka seawal pukul 3 pagi itu bebas daripada sebarang jangkitan COVID-19.

Beliau mengulas video yang tular memaparkan keadaan sesak dengan tidak mematuhi arahan penjarakan sosial di pasar borong berkenaan.

Shadan menjelaskan, video tersebut dirakam pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada pertengahan Mac lalu.

Biarpun mengakui kehadiran pengunjung di pasar berkenaan meningkat sejak dua hari lalu, namun pihaknya sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi kesemua 200 peniaga selain mengaplikasikan sistem nombor giliran kepada pengunjung yang hadir.

"Video yan tular semalam kononnya ramai yang mengunjungi Pasar Borong Baru Berendam merupakan rakaman lama iaitu ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama.

"Jika kita lihat kebelakangan ini, awal pagi memang ramai yang datang ke pasar borong ini namun MPHTJ menghadkan pembeli yang masuk ke dalam kawasan pasar borong.

"Menjelang musim perayaan kita akan mengetatkan lagi kawalan dengan membenarkan hanya 200 pembeli sahaja masuk kerana di sini terdapat 200 peniaga, jadi yang selebihnya kena tunggu di luar pagar pasar," katanya selepas mengadakan lawatan mengejut di pasar borong tersebut yang beroperasi seawal pukul 3 hingga 9 pagi itu.

Sebelum ini, video berdurasi 24 saat mengambarkan keadaan orang ramai pelbagai bangsa berpusu-pusu membeli barangan basah di pasar borong tersebut tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Shadan berkata memandangkan pasar berkenaan merupakan pasar segar utama di negeri Melaka, pihaknya menempatkan sekurang-kurangnya 20 petugas setiap hari bagi memastikan kesemua SOP ditetapkan dapat dipatuhi.

Video tersebut dirakam pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada pertengahan Mac lalu.

Sementara itu, seorang peniaga di pasar berkenaan, Rozaimi Amran, 42, tidak menafikan kehadiran pengunjung ke pasar segar berkenaan berganda selepas kerajaan memberikan kebenaran untuk keluar berdua selain pengumuman PKPB.

Malah katanya, ada antara pengunjung yang seolah-olah bersikap mengambil kesempatan dengan pelonggaran syarat diberikan sejak dua hari lalu dengan keluar membeli barangan keperluan di pasar itu melebihi dua orang selain turut membawa kanak-kanak.

Dia yang telah lebih 10 tahun menjalankan perniagaan di pasar berkenaan berkata, ada masanya dia terpaksa mengarahkan salah seorang pekerjanya untuk berada di bahagian luar gerai bagi mengawal penjarakan sosial pengunjung.

"Kita dapat tahu tentang video yang tular itu semalam (Sabtu), tetapi semalam memang sudah ada yang datang bawa anak.

"Susah juga untuk kami tegur sebab mereka pelanggan dan kalau datang ramai kita akan minta jarak kedudukan mereka sebab kalau kami tak cakap pun polis yang jaga pasar ini akan datang," katanya.

Sementara itu seorang pengunjung Rahim Luwi, 59, berkongsi cerita, meskipun kerajaan membenarkan dua wakil keluarga keluar membeli barangan keperluan, namun sebagai ketua keluarga, dia mengambil pendekatan hanya dirinya sahaja yang berada di khalayak ramai bagi memastikan keluarganya bebas daripada jangkitan COVID-19.

"Sejak diumumkan boleh keluar berdua, saya keluar dengan isteri tetapi dia dalam kereta, hanya saya masuk dalam pasar.

"Saya tetap fikirkan keselamatan walaupun telah diberi kelonggaran," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di pasar berkenaan juga mendapati, selain diberi nombor giliran, setiap pengunjung yang hadir akan menjalani pemeriksaan suhu badan serta diwajibkan menggunakan cecair pembasmi kuman.