KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan 20 nama yang beliau berpandangan layak menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Jelas beliau, keahlian MPN mestilah tidak mempunyai ahli politik parti-parti kerana mereka akan mempertimbang kepentingan parti berbanding rakyat dan negara.

“Keduanya, ahli-ahli mestilah terdiri dari pakar, berpengalaman, berupaya menangani krisis serta orang muda yang dinamik telah memperlihat kesungguhan membantu rakyat dan negara.

“Beberapa ahli politik yang saya cadang tidak boleh terikat dengan parti mereka,” katanya dalam satu kenyataan di blog beliau pada Sabtu. 

Ujar beliau, beberapa nama ahli politik yang dicadangkan untuk menyertai MPN dipilih bukan kerana politik kepartian, tetapi atas beberapa usaha yang telah dilakukan individu tersebut. 

Berikut 20 nama yang dicadangkan oleh beliau:
  1. Tan Sri Rafidah Aziz
  2. Tan Sri Lin See Yan
  3. Tan Sri Mohd Hassan Marican
  4. Tan Sri Mohamed Azman Yahya
  5. Prof. Dr Jomo K. Sundram
  6. Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman
  7. Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman
  8. Emeritus Prof Datuk Dr Lam Sai Kit
  9. Datuk Dr Musa Nordin
  10. Datuk Dr Amar Singh HSS
  11. Dr Kumitaa Theva Das
  12. Prof Emeritus Datuk Shad Faruqi
  13. Prof Datuk Salleh Buang
  14. Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz
  15. Tan Sri Mohd Shukri Ab Yajid
  16. Samuel Isaiah
  17. Datuk Seri Azalina Othman Said
  18. Hannah Yeoh
  19. Ahmad Fahmi Fadzil
  20. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Jelas beliau, cadangan penubuhan MPN yang berkonsepkan ala-MAGERAN 1969 itu pertama kali dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap Baginda pada 10 Jun lalu.

“Cadangan penubuhan MPN ini timbul kerana rata-rata terdapat sentimen bahawa kerajaan ini sudah gagal amat meluas dan krisis semakin bertambah.

“Dengan jumlah kes baru (COVID-19) mencapai 17,000 amat jelas sentimen bahawa kerajaan ini gagal bukanlah satu retorik politik.

“Kegelisahan kerana keadaan ekonomi yang merudum menambah kepada kemarahan dan ketidak-puasan hati rakyat terhadap Kerajaan. Hari ini rakyat sudah mula bawa kemarahan mereka ke jalanan,” katanya lagi.