KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dilaporkan akan bermesyuarat jam 2 petang hari ini.

Astro AWANI difahamkan notis mesyuarat yang akan diadakan secara dalam talian itu baru dikeluarkan pagi tadi.

Sumber dalaman PKR memaklumkan, antara isu yang dijangka akan dibangkitkan dalam mesyuarat itu termasuk keputusan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng yang meletak jawatan sebagai ketua PKR Sarawak dan keluar parti.

Malah, dakwaan kononnya Ahli Parlimen Tebrau, Stephen Choong bertindak keluar PKR turut akan dibincangkan.

Difahamkan, mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, kemelut hubungan antara PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) juga dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

BACA: PKR diingatkan jangan hipokrit, beli dan jual wakil rakyat budaya hina - Pemuda Amanah

BACA: Tidak manis lompat parti sama gabungan - Salahuddin Ayub

Ia susulan keputusan PKR menerima masuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Amanah ke dalam parti itu. 

Tiga Adun di Johor yang sudah menyertai PKR ialah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).

Tahun lalu, PKR juga menerima dua Adun AMANAH dari Selangor iaitu Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman.