MSIC 2025 bantu kerajaan laksana dasar ekonomi bersasar - DOSM

Mohd Uzir menjelaskan bahawa dengan struktur baharu yang lebih terperinci, kerajaan kini dapat mengenal pasti sumbangan sektor-sektor baharu. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Pengelasan industri baharu di bawah Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025, membolehkan kerajaan melaksanakan dasar ekonomi yang lebih bersasar berdasarkan data yang lebih terperinci dan terkini.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, langkah itu turut memperkukuh struktur ekonomi negara apabila bilangan kod industri dalam MSIC meningkat 6.3 peratus kepada 1,248 kod industri berbanding 1,174 kod dalam MSIC 2008 Versi 1.0.
"Peningkatan ini mencerminkan peluasan struktur aktiviti ekonomi negara serta kemunculan sektor baharu berasaskan teknologi, inovasi dan kelestarian.
"Dengan klasifikasi ini, kita dapat menilai corak pertumbuhan ekonomi, prestasi sektor, jurang gaji serta penggunaan teknologi dengan lebih granular (terperinci mengikut sektor dan kawasan).
"Semua pemboleh ubah ini perlu kita lihat mengikut industri supaya intervensi dasar dapat dibuat secara bersasar," katanya pada sidang media selepas majlis peluncuran buku MSIC 2025 di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di sini hari ini.
MSIC 2025 merupakan kerangka standard baharu bagi pengelasan jenis aktiviti ekonomi di Malaysia, menggantikan klasifikasi MSIC 2008 Versi 1.0 yang telah digunakan sejak 17 tahun lepas dan ia merupakan edisi keenam bagi piawaian klasifikasi aktiviti ekonomi negara, yang mula diterbitkan pada tahun 1957.
Pengemaskinian MSIC 2025 juga adalah selari dengan International Standard Industrial Classification of All Economic Activities (ISIC) pindaan ke-5 yang diterbitkan oleh United Nations Statistics Division (UNSD)
Mohd Uzir menjelaskan bahawa dengan struktur baharu yang lebih terperinci, kerajaan kini dapat mengenal pasti sumbangan sektor-sektor baharu seperti pencipta kandungan, tenaga boleh diperbaharui, dron dan mata wang digital terhadap ekonomi negara.
"Kalau sebelum ini data itu ada tapi tidak diasingkan, kini kita boleh tahu sumbangan sektor baharu terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan lebih jelas," katanya.
Menurut Mohd Uzir, usaha ini turut membantu agensi kerajaan seperti SME Corp dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mendapatkan data yang lebih tepat bagi menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengikut sektor dan kawasan.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata Malaysia turut menjadi antara negara terawal mengadaptasi International Standard Industrial Classification (ISIC) Revision 5 yang diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2023, sejajar dengan kedudukan Malaysia di tangga pertama dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) bagi keterbukaan data.
"Langkah ini membolehkan sistem statistik rasmi negara disusun selaras dengan amalan terbaik antarabangsa. MSIC 2025 akan digunakan sepenuhnya bagi Banci Ekonomi 2026 untuk memastikan setiap data yang dikeluarkan berasaskan klasifikasi industri terkini," katanya.
Beliau turut mengumumkan bahawa Akaun Satelit Industri Kreatif akan diterbitkan pada November ini bagi menilai sumbangan sektor kreatif terhadap ekonomi negara, susulan penerbitan akaun satelit bagi sektor sukan, pelancongan dan ekonomi digital sebelum ini.
"Negara seperti Korea Selatan telah menjadikan industri kreatif sebagai pemangkin ekonomi. Kita juga mahu Malaysia mempunyai statistik rasmi yang dapat menyokong pembangunan sektor ini," katanya.
MSIC 2025 diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris serta boleh dimuat turun melalui portal rasmi DOSM mulai hari ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


