MTL: APM pantau media sosial dapatkan maklumat awal

APM telah bersiap sedia sejak awal lagi bagi menghadapi MTL (Monsun Timur Laut) 2025/2026 yang bermula Nov hingga Mac tahun depan. - Gambar fail/APM
KEPALA BATAS: Angkatan Pertahanan Awam (APM) memperhebat kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan banjir dengan menggabungkan laporan rasmi dan pemantauan masa nyata termasuk maklumat tular di media sosial.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman berkata, ini bagi memastikan pihaknya dapat mengesan sebarang bencana yang berlaku dengan lebih cepat supaya operasi menyelamat dan bantuan dijalankan segera.
"APM telah bersiap sedia sejak awal lagi bagi menghadapi MTL (Monsun Timur Laut) 2025/2026 yang bermula Nov hingga Mac tahun depan antaranya dari segi latihan yang diberikan kepada pegawai dan anggota kami, persiapan aset-aset dan pemantauan kawasan titik panas secara berterusan.
"Selain itu, kami juga mengambil pendekatan memantau laporan atau maklumat yang ada dalam media sosial seperti TikTok dan Facebook yang ditularkan oleh penduduk supaya dijadikan maklumat awal bagi menyalurkan bantuan tanpa perlu menunggu aduan rasmi daripada mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi APM Pulau Pinang di Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas, di sini, pada Khamis.
Seramai 70 anggota APM dianugerahkan sijil dan pingat bagi mengiktiraf sumbangan serta pencapaian mereka pada majlis tersebut.
Ghazali berkata, pada masa ini, APM di seluruh negara mempunyai 789 aset berasaskan darat dan 1,121 aset operasi air manakala dari segi sokongan operasi udara, terdapat lebih 20 dron untuk pengawasan semasa kerja menyelamat.
Beliau berkata, pihaknya juga terus memantau situasi cuaca secara berterusan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan akan mengambil langkah sewajarnya berdasarkan pelan tindakan yang telah disediakan sekiranya berlaku bencana.
"Secara keseluruhan, kami mempunyai 15,392 anggota di seluruh negara yang boleh digerakkan apabila MTL dan sekarang ini kami menjalankan pemantauan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti berisiko berlaku banjir dan maklumat lokasi hotspot yang disalurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) turut menjadi fokus utama bagi memastikan operasi pemindahan mangsa bencana dapat dijalankan dengan cekap dan teratur, kami mahu memastikan setiap anggota mampu menguruskan PPS dengan baik terutama ketika pemindahan mangsa bencana," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga meningkatkan koordinasi dan perkongsian maklumat antara agensi khususnya dalam menggerakkan aset dan anggota ke lokasi terjejas.
-- BERNAMA
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

