IPOH: Orang ramai khususnya di negeri ini dinasihatkan agar berhati-hati terhadap aktiviti yang melibatkan ancaman kepala air susulan negara kini memasuki musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata di Perak terdapat tujuh 'hotspot' kepala air iaitu di Sungai Bil Behrang, Sungai Dang, Sungai Kampung Ruah Batu 7, Sungai Lata Kinjang, Sungai Lata Iskandar, Sungai Ulu Slim dan Sungai Trolak.

"Pesanan ini bertepatan dengan peranan JBPM selaku urus setia Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) yang terletak di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya ketika berucap pada Karnival Keselamatan Kebakaran Peringkat JBPM Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah Meru Raya di sini pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching dan Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon,

Karnival bermula semalam itu, berjaya menarik lebih 4,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti dijalankan seperti pertandingan mewarna, ceramah kesedaran dan pencegahan kebakaran, demonstrasi pemadaman kebakaran dapur, pertandingan kawad operasi dan pameran jentera.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata JBPM akan terus berusaha memperkasakan kesedaran keselamatan awam melibatkan kebakaran menerusi 'Fire Learning Hub Centre' di balai-balai bomba seluruh negara, iaitu inisiatif diperkenalkan KPKT di bawah Dasar Malaysia MADANI.

"Ia adalah inisiatif Belanjawan 2024 di bawah Peruntukan Mengurus menerusi Program Community Fire Evacuation Awareness Escape Tent iaitu sebanyak RM825,000 dan telah diperhalusi pada Bengkel Pengislahan Pelan Strategik KPKT 2023-2025 lalu.

"Pihak kementerian sentiasa cakna perkara yang melibatkan masyarakat khususnya melibatkan elemen kesedaran keselamatan kebakaran dan kita berharap ia dapat memberikan impak positif," katanya.

Sayani dalam ucapannya pula berkata orang awam perlu diberi kesedaran mengenai keselamatan persekitaran, langkah pencegahan dan tugas serta tanggungjawab selaras Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara yang dibangunkan oleh KPKT.

"Dasar ini meliputi teras, strategi dan pelaksanaan program yang bersepadu dalam membangunkan kefahaman, kesedaran serta pembudayaan amalan keselamatan awam yang baik," katanya.

-- BERNAMA