Skip to main content

Malaysia

MTL: PDRM siap siaga lebih 20,000 anggota, 2,465 aset

Mohd Yusri berkata antara aspek yang diberi keutamaan ialah pemantauan terhadap 3,045 kawasan hotspot banjir di seluruh negara. - Foto fail/BERNAMA
Mohd Yusri berkata antara aspek yang diberi keutamaan ialah pemantauan terhadap 3,045 kawasan hotspot banjir di seluruh negara. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • PDRM bersiap siaga dengan 21,477 pegawai dan anggota serta 2,465 aset operasi menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027.
  • Fokus diberikan kepada pemantauan 3,045 kawasan hotspot banjir, 263 kawasan cerun kritikal, dan 31 hotspot tanah runtuh di seluruh negara.
  • Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka, patuhi arahan pihak berkuasa dan rujuk maklumat sahih berkaitan amaran cuaca sepanjang tempoh MTL.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada tahap kesiapsiagaan optimum dengan kekuatan 21,477 pegawai dan anggota bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang fasa Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata selain sumber manusia, persediaan itu turut disokong dengan 2,465 aset operasi yang merangkumi 1,788 aset darat, 656 aset bot dan 21 aset udara.

Beliau yang juga Komander Operasi Bencana di Peringkat Pusat berkata sumber manusia dan aset berkenaan khususnya daripada KDNKA, sedia digerakkan bagi memastikan keupayaan mobilisasi, bantuan dan tindakan operasi dapat dilaksanakan dengan segera apabila diperlukan.

Advertisement

"Pengurusan bencana merupakan tanggungjawab bersama-sama yang memerlukan kerjasama erat dan penyelarasan bersepadu antara pelbagai kementerian, jabatan dan agensi, sama ada di peringkat Persekutuan, negeri mahupun daerah.

"Kerjasama strategik ini amat penting bagi memastikan setiap tindakan dapat dilaksanakan secara pantas, teratur dan berkesan demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Advertisement

Mohd Yusri berkata antara aspek yang diberi keutamaan ialah pemantauan terhadap 3,045 kawasan hotspot banjir di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, Kelantan merekodkan kawasan berisiko tertinggi, iaitu sebanyak 609 kawasan, diikuti Pahang (572), Terengganu (460) dan Sabah (348).

“Pasukan penyelamat turut memperluas skop pemantauan di 263 kawasan cerun kritikal dan berisiko, serta 31 kawasan hotspot tanah runtuh bagi memastikan langkah pencegahan serta tindakan awal dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata fenomena cuaca bermusim yang bermula pada 27 Okt lepas dan dijangka berterusan hingga Mac 2027 itu perlu diberi perhatian serius kerana berpotensi membawa hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan banjir serta tanah runtuh, terutamanya di kawasan berisiko.

Mohd Yusri turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan mematuhi arahan semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan merujuk sumber maklumat terkini dan sahih terutamanya berkaitan amaran cuaca melalui laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di www.met.gov.my, saluran media sosial rasmi agensi itu serta aplikasi myCuaca.

“PDRM komited untuk terus memperkukuh kesiapsiagaan dan kerjasama strategik bersama dengan agensi berkaitan bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara sepanjang tempoh MTL,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement