KUCHING: Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) akan meneliti hasil rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak berhubung semakan semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebelum sebarang formula dimuktamadkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perbincangan itu turut mengambil kira kepentingan negara serta hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Advertisement
“MOF (Kementerian Kewangan) telah berbincang dengan Sabah dan selepas ini akan berbincang dengan Sarawak. Sarawak mempunyai formula sendiri, manakala pihak Persekutuan melihatnya daripada sudut berbeza.
“Hasil perbincangan akan dibawa kepada Jawatankuasa Teknikal untuk diteliti sebelum dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Geran Tahunan Masjid dan Surau Kawasan Parlimen Petra Jaya, di sini malam tadi.
Beliau berkata setakat ini tiada sebarang formula dipersetujui, dan keputusan bergantung kepada rundingan MOF dengan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak.
Rabu lepas, Kementerian Kewangan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa rundingan bersama Sarawak akan diadakan tahun ini bagi semakan semula pemberian khas di bawah Perkara 112D, selaras semakan lima tahun sekali.
Semalam, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri akan mencadangkan supaya jumlah pemberian khas kepada Sarawak ditentukan berdasarkan peratusan hasil yang dijana negeri itu.
Pada majlis berkenaan, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menyampaikan geran sebanyak RM330,000 kepada 30 masjid dan 60 surau di Parlimen Petra Jaya.
-- BERNAMA