Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Melaka: Pengalaman pentadbiran Persekutuan jadi taruhan PH di Paya Rumput

Adam Adli ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan DUN Paya Rumput dan Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera dan Anggota Parti Cabang Tangga Batu di Melaka malam tadi. --fotoBERNAMA
Adam Adli ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan DUN Paya Rumput dan Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera dan Anggota Parti Cabang Tangga Batu di Melaka malam tadi. --fotoBERNAMA

Advertisement

MELAKA: Pengalaman luas dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan menjadi sandaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempertaruhkan Datuk Azman Abidin sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka Adam Adli Abd Halim berkata pemilihan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri itu mencerminkan kesungguhan PH menawarkan calon berpengalaman yang mampu memahami keperluan penduduk dan menterjemahkannya kepada penyelesaian berkesan.

“Paya Rumput ini bukan tempat tangkap muat. Kita pastikan calon yang diturunkan ada pengalaman, ada kebijaksanaan dan paling penting tahu apa nak buat. 

“Bila kita turunkan tokoh seperti Datuk Azman Abidin, seorang yang mempunyai latar belakang panjang dalam pentadbiran negara, ertinya kita tidak lagi main-main,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Gerakan DUN Paya Rumput dan Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera dan Anggota Parti Cabang Tangga Batu di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden PKR yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Dewan Negara Senator Isaiah Jacob dan Ketua Cabang PKR Tangga Batu Azlan Osman.

Adam Adli berkata pengalaman Azman berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri memberikannya pendedahan kepada proses penggubalan dan pelaksanaan dasar, pengurusan agensi kerajaan serta penyelarasan peruntukan.

Beliau berkata kelebihan itu berpotensi membantu Azman memperjuangkan keperluan penduduk Paya Rumput dengan lebih berkesan, khususnya berkaitan pembangunan infrastruktur asas, kebajikan dan pembangunan komuniti.

“Hubungan erat ini memastikan pelaksanaan projek infrastruktur asas, isu kebajikan dan pembangunan komuniti di Paya Rumput dapat disegerakan tanpa halangan birokrasi.

“Kemajuan sesebuah kawasan memerlukan wakil rakyat yang bukan sahaja hadir mendengar masalah, bahkan mempunyai akses serta jalan penyelesaian pantas melalui sokongan pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement