KOTA BHARU: Penubuhan Maahad Tahfiz Al-Quran (MTQ) Perempuan pertama di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan meningkatkan jumlah huffaz wanita di negeri itu.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pengambilan pertama bagi sesi 2023/2026 membabitkan 10 pelajar yang mengikuti program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraati selama tiga tahun sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau berkata sesi pengajian maahad tahfiz dijalankan di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji, sejak setahun lepas.

"Apabila siap kerja-kerja menaik taraf bangunan di Pendek, Salor yang berakhir 3 Dis tahun lepas, penempatan dan proses pembelajaran sepenuhnya berjaya dilaksanakan.

"Sebanyak 10 mahasiswi mendaftarkan diri sebagai kumpulan pertama di MTQ Perempuan ini dan kita sasarkan 30 orang pada 2025," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian MTQ (Perempuan) di Pendek, Salor, di sini semalam.

Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata segala kemudahan serta prasarana yang disediakan di MTQ Perempuan lengkap dan memenuhi syarat ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

"Kewujudan MTQ Perempuan ini adalah satu lagi mercu tanda kebanggaan MAIK dalam memartabatkan institusi pendidikan tahfiz al-Quran kerana kita dapat melihat bahawa maahad tahfiz al-Quran MAIK sudah jauh melangkah melalui perkembangan program akademik, pembangunan infrastruktur, ditambah program untuk mahasiswi.

"Penubuhan maahad ini disebabkan terdapat banyak permintaan daripada masyarakat mengharapkan wujudnya peluang pembelajaran tahfiz al-Quran di bawah MAIK untuk pelajar perempuan," katanya.

Beliau berkata keputusan untuk menawarkan program diploma ini dimuktamadkan dalam mesyuarat jawatankuasa pengelola maahad pada akhir 2022.

Antara kemudahan disediakan termasuk ruangan kelas yang kondusif dan lengkap dengan paparan skrin projektor, bilik tidur selesa serta kemudahan-kemudahan lain seperti kantin.

"Ia bagi memastikan kelancaran kelas pengajian dan pengurusan maahad tahfiz al-quran (perempuan), selain terdapat beberapa kakitangan dan pensyarah baharu khusus untuk subjek seperti al-Quran bahasa Inggeris, bahasa Arab dan Pengajian Malaysia telah dilantik.

-- BERNAMA