Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN) mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meneliti beberapa item popular pengguna untuk disenaraikan sebagai barang kawalan.

Ia berikutan impak positif daripada pengguna berhubung pelaksanaan Skim Kawalan Harga setiap kali menjelang musim perayaan.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ekoran daripada itu, MTSHN turut meminta kementeriannya mempertimbangkan tempoh pelaksanaan skim berkenaan.

“‘Majlis telah arahkan KPDNHEP untuk mengkaji ke arah mengenal pasti beberapa item popular pengguna untuk dipertimbangkan dalam senarai barang kawalan.

“Meneliti dan melihat beberapa item pengguna yang dianggap popular tapi ada isu kenaikan harga. Jadi kami akan berusaha ke arah cadangan supaya item itu dibawa masuk ke senarai barang kawalan,” katanya selepas membacakan kenyataan media bagi pihak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Jumaat.

Mesyuarat berkenaan yang berlangsung hampir tiga jam itu dipengerusikan oleh Dr Wan Azizah sendiri.

Sebagai rekod, antara item sedia ada di bawah senarai barang kawalan adalah gula, tepung gandum, minyak masak paket satu kilogram dan garam.

Selain itu, MTSHN turut memutuskan untuk memperluaskan program Food Bank Malaysia di bawah seliaan KPDNHEP ke semua institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Saifuddin turut memberitahu persetujuan MTSHN atas cadangan Kementerian Pengangkutan berhubung pemberian diskaun sebanyak 20 peratus bagi kadar tambang KTM Komuter.

“Hari ini kita setuju terima kertas. Beri manfaat pengguna komuter di dalam dan luar bandar. Kementerian Pengangkutan akan sediakan kertas untuk dibentang kepada jemaah menteri untuk dipertimbangkan,” katanya.

MTSHN pada masa yang sama turut mengalu-alukan kerjasama dan kepakaran daripada pelbagai pihak terutamanya universiti tempatan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan untuk kemukakan cadangan bagi membantu meringankan beban rakyat dalam berhubung isu kos sara hidup.

Mesyuarat peringkat eksekutif MTSHN akan bersidang pada Mac depan.