Daerah Muar mencatatkan penerimaan hujan paling banyak bagi daerah di Johor berdasarkan bacaan taburan hujan yang direkodkan oleh stesen pencerapan data hujan pada 20 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor Ir Che Mohd Dahan Che Jusof berkata dalam tempoh beberapa hari ini, Johor kerap menerima hujan jika dibandingkan bagi tempoh sama pada tahun lepas.

"Kalau ikut kebiasaan, pada bulan Jun dan Ogos cuaca agak kering. Pada 20 Jun lepas, hujan lebat berlaku di lima daerah iaitu Batu Pahat, Kluang, Muar, Pontian dan Tangkak. Paling lebat direkodkan di Muar iaitu di Stesen Ladang Air Manis sebanyak 285 milimeter (mm) sehari," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, paras air sungai di negeri ini masih normal dan tiada yang direkodkan berada pada tahap bahaya, kata Che Mohd Dahan.

Menurutnya terdapat 88 stesen pencerapan di 10 daerah di Johor untuk memantau taburan hujan.

Setakat 8 pagi ini, sebanyak 614 orang berada di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di Muar, Batu Pahat dan Pontian.

-- BERNAMA