Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) meminta kerajaan menimbangkan penyeragaman pencen dan faedah persaraan kepada bekas wakil rakyat di seluruh negara.

Presiden Mubarak Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata selain kerana peningkatan kos sara hidup, penyeragaman itu perlu dilakukan bagi membolehkan bekas wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) turut menikmati pencen dan faedah yang lebih.

"Kita mahukan pencen wakil rakyat ini disamaratakan di seluruh negara baik di peringkat Parlimen dan DUN... apa sahaja kenaikan yang diterima wakil rakyat sekarang, berikan juga kepada bekas wakil rakyat yang telah berjasa dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Tahunan Mubarak Ke-12 yang dihadiri 150 anggotanya dari seluruh negara di sini, hari ini.

Abdul Aziz juga mencadangkan supaya Anggota Parlimen dan anggota DUN diberikan pencen penuh sekiranya meninggal dunia atau Parlimen dibubarkan sebelum tempoh 72 bulan perkhidmatan masing-masing.

"Mereka perlulah dianggap memenuhi syarat perundangan, yang melayakkan individu itu mendapat pencen penuh 50 peratus daripada elaun atau gaji semasa," katanya.

Selain itu, Mubarak mencadangkan supaya dokumen Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dibincangkan di Parlimen selain mewujudkan satu jawatankuasa khas dianggotai pakar ekonomi dan perundangan untuk menyemak dan meneliti TPPA itu.

"TPPA harus dinilai dan dibincangkan secara serius dalam sidang Parlimen tanpa mengira latar belakang parti politik kerana ia melibatkan kedaulatan negara," kata Abdul Aziz.

Rundingan TPPA dimuktamadkan pada 5 Okt lepas di Atlanta, Amerika Syarikat dan teks dokumen itu dijangka disiapkan penghujung bulan ini.

Malaysia tidak boleh lewat daripada dua minggu pertama 2016 untuk membuat keputusan sama ada menandatangani perjanjian itu atau tidak.

Rundingan TPPA, yang julung kali dilancar pada 2005, membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.