SHAH ALAM: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memperkenalkan Kertas Hitam Muda sebagai panduan kepada parti itu berkhidmat kepada rakyat.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Kertas Hitam tersebut dibentuk melalui kutipan suara rakyat di seluruh negara sejak Julai lalu.

Menurutnya, setiap rakyat yang ditemui diminta memberikan tiga kehendak untuk melihat negara ini maju.

“Pendidikan, ekonomi sejahtera, pertanian moden, peluang kerja, seni tanah air, kebebasan untuk mengejar cita-cita, hak ibu dan kanak-kanak, tuntutan untuk gaji yang lebih tinggi dan macam-macam lagi.

“Ini antara maklum balas yang kami terima. Dengan kesemua respon yang diterima, Muda telah menyiapkan Kertas Hitam kami.


“Khidmat kami kepada rakyat akan berdasarkan Kertas Hitam ini,” katanya di Facebook pada Isnin.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau akan menghuraikan Kertas Hitam Muda dengan lebih terperinci dalam masa terdekat. - Sinar Harian