Semua senat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dibenarkan untuk memberi kelonggaran terhadap kemasukan pelajar berdasarkan keperluan, berikutan keputusan kerajaan menyeragamkan kenaikan gred Malaysian University English Test (Muet) mengikut bidang pengajian sebelum ini.

Menurut Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) akan diberi masa untuk memenuhi ketetapan itu kerana ia mungkin terlalu cepat bagi sesetengah pihak untuk melaksanakannya.

“Kita juga sedar bahawa kemasukan universiti itu untuk kelonggarannya boleh diberi oleh senat mengikut akta universiti dan memang senat mempunyai kuasa untuk menentukan kemasukan universiti.

“Jadi untuk kemasukan, jika perlu ada kelonggaran disebabkan tempoh masa yang begitu cepat untuk melaksanakan, kita bagi kelonggaran kepada senat untuk membuat keputusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Pusat Komprehensif Pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok.

Pada pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk menaikkan gred Muet bagi kemasukan ke IPTA bermula tahun depan.

Ketika ini, syarat kemasukan am memerlukan pelajar mencapai tahap minimum Muet adalah band 1.

Mulai tahun depan, tahap minimum band Muet untuk kemasukan ke IPTA ditingkatkan mengikut bidang, seperti pengajian sastera dan sains sosial pada band 2; pengajian sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), band 3 dan band 4 bagi pengajian undang-undang dan perubatan.