Skip to main content

Malaysia

Muhyiddin akan kemuka representasi gugur tuduhan menghasut

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pihak pembelaan menerima sepucuk warkah daripada pihak istana semalam, selepas Muhyiddin (tengah) diterima menghadap oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -Gambar fail/Bernama
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pihak pembelaan menerima sepucuk warkah daripada pihak istana semalam, selepas Muhyiddin (tengah) diterima menghadap oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengemukakan representasi untuk menggugurkan pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, pada 2024.

Kenyataan menghasut itu berhubung dakwaan beliau yang tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh itu berkata pihak pembelaan menerima sepucuk warkah daripada pihak istana semalam, selepas Muhyiddin diterima menghadap oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Advertisement

“Tanpa perlu memperincikan perkara tersebut, Yang Arif, kami ingin memaklumkan bahawa anak guam kami telah diterima menghadap oleh pihak istana pada 26 Okt lepas. Kami dimaklumkan bahawa terdapat perkembangan positif berhubung perkara itu.”

"Seterusnya semalam, kami diserahkan satu warkah daripada pihak istana. Saya tidak akan memperincikan kandungannya, namun berdasarkan warkah tersebut, Yang Arif, kami ingin mengemukakan representasi baharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin hari ini.

Advertisement

Amer Hamzah memaklumkan pihaknya akan mengemukakan satu salinan warkah berkenaan kepada AGC dan memohon masa bagi membolehkan pihak Peguam Negara dapat mempertimbangkan representasi tersebut.

“Kami tidak mahu menjejaskan sebarang persefahaman baik yang telah terjalin dengan memulakan perbicaraan ini, Yang Arif. Oleh itu, saya berharap mahkamah dapat memberikan sedikit kelonggaran dan masa kepada kami. Kami akan menyerahkan salinan warkah itu secara terus kepada pihak Peguam Negara untuk pertimbangannya,” kata beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah kemudian melapangkan semua tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dan menetapkan 3 Dis bagi pemakluman perkembangan representasi berkenaan.

Pada 27 Ogos 2024, Muhyiddin, 79, yang juga Presiden Bersatu didakwa atas satu pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan antara 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan susulan permohonan pihak pembelaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement