Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mempengerusikan mesyuarat meja bulat dengan ketua-ketua industri di United Kingdom semasa lawatan kerja lima hari ke London, esok.

Mesyuarat anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom itu bertujuan menggalakkan perdagangan dua hala dan menarik pelaburan British ke Malaysia.

Selain itu, mesyuarat itu bertujuan menggalakkan kalangan ahli perniagaan, pelabur dan usahawan dari kedua-dua negara itu menjalinkan rangkaian perniagaan.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata Muhyiddin dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Nick Clegg untuk bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala serta kepentingan bersama isu-isu serantau dan antarabangsa.

"Muhyiddin juga telah dijemput menyampaikan ucaptama pada majlis jamuan malam Lembaga Pemegang Amanah, Pusat Pengajian Islam Oxford, sempena msyuarat tahunan lembaga itu," menurut Wisma Putra.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, dijangka melawat Kolej Westminister Kingsway di London bagi mendapatkan maklumat berguna mengenai pendidikan teknikal dan vokasional di negara itu.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin akan diiringi isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, pegawai-pegawai daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Luar, Kementerian Pendidikan dan beberapa agensi kerajaan.

"Lawatan Muhyiddin adalah susulan lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tubn Razak ke London, awal Julai lepas," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata lawatan Timbalan Perdana Menteri itu akan menambah momentum dalam interaksi politik dan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara Malaysia dan United Kingdom dalam tempoh tiga tahun lepas.

Dalam jadual lawatan itu, Muhyiddin juga dijangka menyampaikan ucaptama pada Forum Merdeka 2013, sebuah acara tahunan anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Kenyataan itu menyebut forum itu akan dihadiri oleh pelajar dan ahli profesional yang tinggal di negara itu.
Selain program itu, Muhyiddin juga dijangka menghadiri jamuan malam bersama masyarakat Malaysia di negara itu.