KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau dijangkiti virus COVID-19.

Menerusi perkongsian di media sosial, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata beliau ketika ini hanya mengalami gejala ringan dan dalam keadaan baik.

“Mengikut protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya akan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Kepada sesiapa yang berkemungkinan menjadi kontak rapat saya, saya nasihatkan supaya mematuhi protokol yang ditetapkan oleh KKM,” katanya.


Beliau turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan beliau serta keluarga.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memberi reaksi menerusi ciapan di Twitter.

Beliau mendoakan semoga Muhyiddin yang dijangkiti COVID-19 segera diberi kesembuhan dan dilindungi oleh Allah SWT. 


Semalam, Muhyiddin telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Putrajaya.

Antara Menteri Kabinet yang turut hadir adalah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Md Jidin; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Turut hadir beberapa Ahli Parlimen Pembangkang, anggota MPN antaranya Pakar Penyakit Berjangkit Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A (AirAsia) Tan Sri Tony Fernandes.