KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN),Tan Sri Muhyiddin Yassin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana awam Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa). 

SPRM memberitahu, bekas Perdana Menteri itu ditahan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, kira-kira pukul 1 tengah hari selepas beliau hadir memberi keterangan.

"Beliau ditahan selepas percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan direkodkan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Sehubungan itu, SPRM memaklumkan pihaknya mendapat perintah daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, beliau berdepan dengan beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 SPRM 2009, Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan pembiayaan keganasan dan hasil daripada aktiviti haram (AMLATFPUAA) 2001.

Desas-desus Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.

AWANI Ringkas: Muhyiddin tiba di SPRM

Pada 2 Februari lalu, Bendahari Agung Bersatu, Datuk Salleh Bajuri ditahan SPRM selepas beliau diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh parti kepada pembekal dan vendor parti.

[TERKINI] Perkembangan di ibu pejabat SPRM setakat jam 12 tengahari

Sebelum ini, SPRM turut membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

Program Jana Wibawa dilaksanakan semasa pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.