Kejayaan Malaysia mengekang penularan wabak COVID-19 membuktikan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin mampu mentadbir negara seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Demikian ujar Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas kesungguhan memerangi pandemik COVID-19.

Ujarnya, Sarawak sangat mengalu-alukan bantuan yang dihulurkan khususnya kepada golongan yang terkesan disebabkan penularan wabak tersebut.

“(Antaranya) Bantuan Perihatin Nasional (BPN) yang disalurkan kepada golongan yang terkesan oleh wabak COVID-19 untuk meringankan beban mereka.

“Justeru, bagi pihak rakyat Sarawak saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kerajaan di peringkat Persekutuan kerana berjaya menjadi kerajaan yang functional (berfungsi) yang memahami aspirasi dan kehendak rakyat,” tambah Abang Johari.

Abang Johari berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Malaysia 2020 di Sibu pada Rabu.