KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan kes salah guna kedudukan untuk suapan RM232.5 juta bagi Parti Bersatu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan notis rayuan yang diperoleh media, bekas Perdana Menteri itu memfailkan rayuan berkenaan semalam, terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan Rabu lepas.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Rabu lepas panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara dalam membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwa raya selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan berkenaan pada 15 Ogos tahun lepas.

Dua lagi hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M Komathy Suppiah.

Muhyiddin, 76, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. - BERNAMA