KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai beberapa langkah bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu sektor perniagaan dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Beliau berkata pengembalian had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan serta peningkatan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun dijangka dapat membantu rakyat dan perniagaan yang berdepan peningkatan kos.
“Susulan pengumuman langkah-langkah ini, adalah penting untuk kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan menyalurkan peruntukan dengan kadar segera dan memastikan setiap bantuan sampai kepada individu serta perniagaan yang layak.
“Saya berharap langkah-langkah yang diumumkan ini disusuli dengan langkah-langkah lain yang lebih komprehensif untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi Belanjawan 2027,” kata Presiden Bersatu itu dalam hantaran di Facebook hari ini.
Muhyiddin berkata langkah lain termasuk tambahan RM500 juta bagi penyelenggaraan sekolah, pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan akses kepada langganan perisian kecerdasan buatan (AI) untuk belia diharap dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam bidang pendidikan, kesihatan serta ekonomi digital.
Beliau berkata selain itu, penambahan kemudahan mikro kredit sebanyak RM1 bilion untuk peniaga kecil dan geran RM200 juta bagi membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam serta wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah juga mampu merancakkan perniagaan khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Muhyiddin turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula dasar mengenai percukaian dan rasionalisasi subsidi yang dilihat memberikan kesan langsung kepada beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini.
Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, AI, pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro yang berkuat kuasa esok.
Beliau berkata kesemua ikhtiar itu adalah langkah kerajaan menangani kebimbangan rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian.
-- BERNAMA