Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan beberapa individu lain.

Beliau turut menegaskan, tidak akan campur tangan dalam kes berkenaan.

"Susulan penahanan ini, saya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan.

"Saya tidak akan campur tangan dalam kes ini dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan berdasarkan proses undang-undang," kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kenyataan media yang diedarkan pada Isnin.

BACA: ADUN Dengkil, Adhif Syan nafi ditahan polis, positif dadah


BACA: ADUN Dengkil ditahan: Adhif nafi, Bersatu Selangor sahkan ADUN Selangor ditahan


Awal pagi ini, seorang ADUN Selangor dan empat pegawai khas ahli politik, antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi.

Kesemu mereka ditahan pada jam 4.45 pagi di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Penahanan itu berpunca daripada laporan terhadap bunyi bising daripada sebuah parti persendirian di kondominium terbabit.

Dalam kenyataan itu juga, Muhyiddin berkata, individu yang bernama Pizi Jihat yang turut ditahan dalam serbuan berkenaan bukannya pegawai beliau seperti dilaporkan.





Sebaliknya, Piji, jelas Muhyiddin, merupakan kakitangan di ibu pejabat Bersatu.