Skip to main content

Malaysia

Kes tikam pelajar: Mahkamah perintah pelajar 15 tahun bela diri

Sumber: Astro AWANI
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh rakan sekolahnya, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Bandar Utama, Petaling Jaya, untuk membela diri. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memerintahkan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang didakwa membunuh rakan sekolahnya, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lalu, untuk membela diri.

Hakim Adlin Abd Majid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan.

Sepanjang prosiding kes pendakwaan yang berlangsung selama enam hari bermula Isnin lalu, seramai 11 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Sebelum ini, tertuduh telah menjalani pemeriksaan psikiatri selama tiga bulan oleh Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta yang juga pakar psikiatri, Dr Ian Lloyd Anthony. Hasil pemeriksaan mendapati remaja itu layak untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh rakan sekelasnya berusia 16 tahun di tandas perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4), Bandar Utama, Petaling Jaya, antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu ketika dihadapkan ke mahkamah pada Februari lalu.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap pesalah yang masih kanak-kanak ketika melakukan kesalahan.

Sebaliknya, Seksyen 97(2) akta sama memperuntukkan bahawa kanak-kanak yang disabitkan kesalahan hendaklah ditahan di penjara atas perkenan Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi kesalahan yang dilakukan di negeri, atau Yang di-Pertuan Agong bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan.

Prosiding kes itu dijalankan secara tertutup mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Kitsoon Foong, sebelum ini memaklumkan pihak pembelaan menjangkakan anak guamnya akan dipanggil untuk membela diri.

Tertuduh diwakili Kitsoon Foong, Chew Jee San, Angel Choo dan Yan Zhi Wei, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

 

Must Watch Video

Advertisement