Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan keluarga berikutan kematian ibunya hari ini.

"Saya baru sahaja menerima khabar dukacita bahawa Ibu Sujiatmi Notomiharjo (Ibunda kepada Bapak Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia) telah kembali ke Rahmatullah sebentar tadi.

"Justeru, saya dan seluruh rakyat Malaysia ingin mengucapkan takziah dan turut berdukacita di atas pemergian Almarhumah yang sudah tentu merupakan kehilangan besar kepada Bapak Presiden dan seluruh rakyat Indonesia," katanya dalam catatan di Facebook dan Twitter beliau, malam ini.

Muhyiddin seterusnya berharap semoga Presiden Indonesia itu dan keluarga diberi ketabahan dan kesabaran oleh Allah atas dugaan yang besar ini.

"Saya berdoa semoga roh Almarhumah diterima segala amal ibadahnya, diampuni segala dosa-dosa, dan ditempatkan di kalangan roh hamba-hamba Allah yang soleh. Al-Fatihah," katanya.

Menurut media dan siaran televisyen tempatan di Indonesia, Allahyarham Sujiatmi, 77, meninggal dunia di Solo, Jawa Tengah, pada 4.45 petang waktu Indonesia Barat dan punca kematiannya belum diketahui.

Allahyarham Sujiatmi dilahirkan pada 15 Feb 1943 di Surakarta. - BERNAMA