Punca kematian seorang pekerja wanita warga Indonesia yang dibunuh di bilik asrama pekerja di Jalan Reko, Kajang pada 31 Disember lalu adalah kerana mulut disumbat dengan kain sehingga lemas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, perkara itu disahkan selepas bedah siasat yang dilakukan oleh Jabatan Forensik Hospital Serdang, pada 10 pagi, Rabu.

“Punca kematian adalah asphyxia due to smothering, iaitu pernafasan dilemaskan (terhenti) oleh kain yang disumbat ke dalam mulut, tiada kesan cekik atau patah di bahagian leher.

“Tiada kecederaan lain yang dikesan pada tubuh badan si mati,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Pada 31 Disember lalu, misteri kehilangan wanita itu terungkai selepas mangsa tidak hadir ke tempat kerja selama tiga hari dan ditemui mati dibunuh di bilik asrama pekerja, Jalan Reko.

Mayat mangsa yang juga jurujual di sebuah kedai perabot di Jalan Reko ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kedua-dua tangannya diikat menggunakan kain selain mulut turut disumbat dengan kain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.