NATIONAL
Mungkinkah ia pesawat MH370?

Perbandingan perlu dilakukan untuk memastikan sama ada serpihan pesawat yang ditemui di Pulau La Reunion itu adalah MH370 atau tidak kata pakar. - Foto AP
Perbandingan perlu dilakukan untuk memastikan sama ada serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion itu adalah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Profesor Madya Makmal Aeronautik (Aerolab) Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automatif dan Samudera, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Ainullotfi Abdul Latif berkata banyak faktor dan aspek yang perlu diambil untuk mengenalpasti komponen flaperon tersebut.
"Jadi sesuatu komponen atau alat yang dibina boleh dikesan daripada tandanya. Bila ia dibuat dan dihantar, batch mana, komponen yang mana dan sebagainya. Sekiranya ia benar daripada pesawat MH370 kita boleh membuat perbandinga dan dapatkan rekod daripada MAS atau Boeing.
Sementara itu, bekas pegawai penyiasat TUDM, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata kesan kemalangan boleh diketahui melalui serpihan juga teritip di flaperon akan menjadi asas siasatan berapa lama serpihan itu berada di laut.
Tambahnya, negara perlu berfikiran terbuka dan menerima keputusan yang bakal dilakukan di Perancis sama ada benarkah serpihan pesawat itu milik MH370.
Terdahulu mengikut laporan agensi berita AFP, serpihan pesawat yang ditemui adalah milik pesawat Boeing 777.
Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan percaya serpihan itu adalah milik MH370.
Hanya satu pesawat Boeing 777 yang dipercayai hilang di Lautan Hindi iaitu MH370.
Sejak dilaporkan terputus hubungan pada Mac tahun lalu, pasukan pencari dan penyelamat tidak menjumpai serpihan pesawat MH370, kejadian yang dianggap misteri dalam sejarah penerbangan.
Kehilangan pesawat berkenaan membingungkan penyiasat dan menyebabkan ahli keluarga serta waris masih tercari-cari jawapan.
Pada Januari, kerajaan Malaysia kemudiannya mengisytiharkan kesemua 239 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami