MOUNTAIN VIEW: Google secara rasmi melancarkan aplikasi Gemini untuk sistem operasi Windows, bagi membolehkan pengguna mengakses pembantu kecerdasan buatan (AI) itu dengan lebih pantas terus daripada desktop.
Melalui aplikasi baharu itu, pengguna boleh mengaktifkan Gemini pada bila-bila masa menggunakan pintasan papan kekunci Alt + Space tanpa perlu membuka pelayar web, lapor Amanz.
Pengenalan aplikasi berkenaan membolehkan tugasan harian seperti menyemak maklumat, menjana idea, merumuskan dokumen dan mendapatkan bantuan penulisan dilakukan dengan lebih cekap semasa bekerja.
Versi Windows itu turut menyokong penggunaan Gemini Spark, iaitu ejen AI yang mampu membantu pelbagai tugasan, selain menawarkan integrasi dengan perkhidmatan Google seperti Gmail dan Google Drive.
Di samping itu, pengguna juga boleh menggunakan aplikasi berkenaan untuk menjana imej berasaskan AI tanpa perlu beralih ke antara muka web.
Aplikasi Gemini untuk Windows kini boleh dimuat turun dan menyokong peranti yang menjalankan sistem operasi Windows 10 serta Windows 11.