Skip to main content

Malaysia

Murid alami muntah dan sakit perut, kantin sekolah diarah tutup 14 hari

Kebanyakan murid mengalami gejala seperti muntah, pening dan sakit perut. -- SINAR HARIAN
Kebanyakan murid mengalami gejala seperti muntah, pening dan sakit perut. - Gambar/ Sinar Harian/ Media sosial
Advertisement

KAJANG: Kantin sebuah sekolah di dalam daerah Kajang diarahkan tutup selepas tular dakwaan beberapa murid mengalami muntah, pening dan sakit perut, bagaimanapun punca sebenar masih dalam siasatan.

Hantaran dimuat naik pemilik akaun @aaira_fififufu mendakwa, kantin sekolah  berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari susulan kejadian itu.

Seorang pengguna Threads yang dipercayai ibu kepada salah seorang murid menggunakan akaun @pagi.baker, berkata kejadian itu berlaku pada Isnin dan kini masih dalam siasatan.

Katanya, anak perempuannya antara murid yang bergejala selepas muntah sebanyak tiga kali ketika berada di sekolah.

"Dengan izin Allah, pada waktu malam keadaannya sudah kembali pulih, setakat semalam (Selasa), keadaan dilihat terkawal," ujarnya.

Menurut pemilik akaun terbabit, anaknya memaklumkan lauk sambal daging yang dihidangkan pedas, manakala beberapa komen lain mendakwa lauk itu berbau kurang elok, namun punca sebenar belum diketahui.

Sementara itu, seorang pemilik akaun, @neysahz, tampil mempertahankan tindakan pihak sekolah dengan memaklumkan ibu bapa menerima maklumat secara berterusan melalui kumpulan komunikasi rasmi sekolah.

Menurutnya, pihak sekolah sudah mengeluarkan pelbagai makluman sejak hari kejadian, manakala pihak kesihatan turut hadir menjalankan pemeriksaan dan siasatan.

Pada masa sama, sekeping notis penutupan premis turut dikongsikan dalam hantaran berkenaan.

Notis itu menyatakan dapur kantin sekolah berkenaan diarahkan ditutup selama 14 hari bermula Selasa hingga 14 Julai ini.

Arahan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1)(d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atas alasan premis berada dalam keadaan mungkin menyebabkan bermulanya atau merebaknya penyakit berjangkit kepada orang ramai.

Sementara itu, Pengurusan Sekolah Rendah Islam ABIM (SERI) dan Sekolah Menengah Islam ABIM (SEMI) Sungai Ramal Dalam mengesahkan insiden disyaki keracunan makanan yang berlaku pada Isnin lalu, terkawal.

Ketua Pegawai Eksekutif SERI/SEMI ABIM Sungai Ramal Dalam, Nazzil Saifuddin Abdul Rahim berkata, pada masa ini hanya seorang murid menerima rawatan di hospital sebelum dibenarkan pulang.

Menurut beliau, sebaik menerima laporan, pihak sekolah segera mengambil tindakan mengikut prosedur yang ditetapkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat.

“Pihak sekolah sentiasa memantau kesihatan semua murid yang terlibat di samping berhubung rapat dengan ibu bapa serta pihak berkuasa kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pihak sekolah turut akur dengan arahan KKM untuk menutup sementara dapur kantin bagi membolehkan kerja sanitasi, pemeriksaan serta tindakan pembetulan dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan makanan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan seluruh warga sekolah terus terjamin.

“Kami sedang menunggu laporan lengkap hasil siasatan PKD Hulu Langat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Sehubungan itu, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga keputusan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau menegaskan, SERI/SEMI ABIM komited untuk terus bersikap telus dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, selain akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini kepada ibu bapa, warga sekolah dan masyarakat melalui saluran rasmi.. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement