KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memerintahkan seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan Yayasan Islam Terengganu (YIT) membayar ganti rugi am kecederaan sebanyak RM30,000 berserta kos RM17,000 kepada seorang bekas murid yang cedera parah akibat dihempas ke kerusi kayu empat tahun lalu.
Keputusan itu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Yusrin Faidz Yusoff, selepas membenarkan rayuan dikemukakan oleh mangsa, Muhammad Izz Anaqi Mohd Izwan yang kini berusia 13 tahun, berhubung insiden menimpanya pada 6 Julai 2022.
Menurut peguam, Mohd Hazwan Hamidun dari Tetuan Rafaei & Co., kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang di SK Tasek, Marang, apabila defendan pertama iaitu Ahmad Mursyidin Abdullah bertindak memegang, mengangkat, dan menghempaskan mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun ke kerusi kayu semasa kelas KAFA berlangsung.
Katanya, akibat perbuatan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah pada tulang tibia dan fibula kaki kanan serta keretakan pada bahagian lain, menyebabkan mangsa tidak boleh berjalan, kaki terpaksa disimen dan tidak dapat hadir ke sekolah selama hampir tiga bulan.
"Mangsa memfailkan saman melalui ibunya Nor Azlina Mohamad Yasin pada 9 Januari 2023 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dengan menamakan Ahmad Mursyidin dan Yayasan Islam Terengganu sebagai defendan pertama serta kedua.
"Bagaimanapun, selepas perbicaraan selesai, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Wan Aklima Wan Salleh pada 16 Februari 2026 menolak tuntutan murid berkenaan sebelum rayuan difailkan dan didengar di Mahkamah Tinggi.
"Dalam penghakimannya, Mahkamah Tinggi mendapati Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dan gagal menilai keterangan dua orang saksi mata yang berada di dalam kelas sama, selain gagal meneliti laporan perubatan pakar Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) yang mengesahkan kecederaan itu adalah akibat hentakan kuat," katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah di sini pada Khamis.
Jelas beliau, mahkamah turut memutuskan bahawa YIT bertanggungan secara vikarius sebagai majikan kepada ustaz berkenaan atas kecederaan yang dialami mangsa akibat perbuatan defendan pertama.
"Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan defendan pertama dan kedua bersama-sama membayar gantirugi am sebanyak RM30,000, kos sebanyak RM17,000, serta faedah 5 peratus setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh.
"Dalam prosiding rayuan tersebut, perayu diwakili barisan peguam Mohd Hazwan bersama Mohammad Rafaei Adnan, dan Alif Danial Ahmad Shahrulnizam dari Tetuan Rafaei & Co. manakala defendan diwakili Saifuddin Othman dan Yuhana Junaidi dari Tetuan Fariz Halim & Co.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Izwan Ahmad Saidi, 40, melahirkan rasa syukur kerana perjuangan menuntut keadilan sepanjang empat tahun akhirnya berpihak kepada keluarga mereka.
"Saya bersyukur kerana akhirnya kes ini berpihak kepada kami dan berharap agar ia dapat memberikan pengajaran kepada yang lain," ujarnya. -- Sinar Harian