Seorang murid lelaki Tahun 1 maut akibat tercekik biji rambutan ketika makan buah berkenaan di bilik guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok, petang ini.

Sumber memberitahu kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika mangsa, yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok pergi ke tempat ibunya seorang guru di SMK Bandar Baru Sintok yang hanya terletak bersebelahan.

"Sewaktu itu mangsa sedang bermain-main bersama beberapa rakannya sebelum dia ke bilik guru berkenaan untuk makan rambutan, tapi waktu makan arwah tercekik dan meninggal dunia di Klinik Changlun," katanya kepada Bernama.

Difahamkan mangsa sedang dibedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah sebelum jenazah dibawa ke Nibong Tebal, Pulau Pinang untuk urusan pengebumian.

Sementara itu, guru kelas kepada mangsa, Sharfiza Shamsir Alam berkata mangsa merupakan seorang murid yang sangat baik dan berdisiplin sehingga membolehkannya dilantik menjadi ketua kelas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya sedang menyiasat.

-- BERNAMA