MELAKA: Seorang murid perempuan Tahun Enam disyaki dicabul sebelum ditinggalkan hanya berpakaian dalam di kawasan semak berhampiran sekolahnya, Rabu lalu.
Mangsa sebelum itu laporkan hilang dan dijumpai sekitar jam 7 malam dalam keadaan menangis ketakutan.
Advertisement
Menurut sumber, kanak-kanak itu disedari hilang oleh guru sekolah selepas mangsa tidak masuk ke kelas tambahan selepas tamat sesi persekolahan pada jam 1.05 tengah hari.
“Usaha mencari mangsa dilakukan dan semakan sistem kamera litar tertutup sekolah (CCTV) mendapati kelibat mangsa keluar dari kawasan sekolah sekitar waktu tengah hari.
“Kanak-kanak itu memberitahu bahawa dia keluar dari sekolah selepas terlihat sebuah kereta yang disangkakan milik ibunya. Namun, dia beredar semula selepas mendapati kenderaan tersebut dipandu oleh seorang lelaki tidak dikenali,” katanya.
Sumber berkata, mangsa terkejut apabila lelaki berkenaan mengejarnya sehingga memaksa kanak-kanak tersebut berlari ke arah semak berhampiran untuk bersembunyi.
Bagaimanapun katanya, suspek berjaya menjumpai mangsa sebelum memintanya menanggalkan pakaian, selain disyaki turut menyentuh pipi serta mengambil beberapa keping gambar sebelum beredar meninggalkan lokasi.
Menurut sumber lagi, keluarga mangsa menjumpai kanak-kanak itu dan bertindak membawanya ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. -Sinar Harian