Seorang murid perempuan tahun tiga Sekolah Kebangsaan Parit Melana maut manakala bapanya cedera selepas motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah lori dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Panchor, Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata Nur Aqilah Husna Abdullah, 9, yang dalam perjalanan dari rumahnya di Paya Datok pada hari pertama pembukaan semula sesi persekolahan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.

Bapa mangsa berusia 33 tahun cedera di bahagian kaki dalam kemalangan jam 7.20 pagi.

Beliau berkata pemandu kereta Proton Wira, Mohd Nasir Daud, 27, turut cedera di bahagian kepala manakala pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Abdul Aziz Majid, 47, dan pemandu lori Isuzu, R.Sankar tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kereta Proton Wira dari arah Pantai Belimbing menghala ke Melaka Pindah hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan.

"Kereta tersebut merempuh kenderaan Toyota Alphard dan lori Isuzu berkenaan sebelum lori terlibat cuba mengelak dan melanggar motosikal yang ditunggang bapa mangsa yang berada di sebelahnya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata akibat kejadian itu, mangsa terperosok di bawah lori tersebut dan mayatnya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

Katanya dua mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA