Anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC Datuk S. Murugesan dilantik sebagai bendahari agung baharu parti berkuat kuasa serta merta, kata Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, Khamis.

Murugesan, 47, mengisi jawatan yang dikosongkan Datuk R. Ramanan susulan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap beliau dalam satu kes saman.

"Murugesan, yang juga bekas setiausaha agung (MIC) dan seorang peguam, bersetuju memberi tumpuan kepada tugasnya selaku bendahari agung parti. Beliau dipertanggungjawabkan untuk meletak semua aset parti di bawah satu bumbung," katanya dalam satu kenyataan.

Palanivel berkata beliau percaya dengan latar belakang perundangan yang dimiliki, Murugesan akan dapat menguruskan akaun, dana dan aset parti dengan cara yang bersesuaian.

"Saya harap Murugesan akan berusaha mendapatkan dana daripada sektor korporat untuk parti," katanya.

Murugesan, ketika dihubungi, mengucapkan terima kasih kepada Palanivel kerana sekali lagi meletak sepenuh kepercayaan kepadanya.

Katanya, beliau akan memberi tumpuan kepada tugas dan tanggungjawabnya untuk menjana lebih pendapatan kepada parti.