KOTA BHARU:Selepas 12 hari menerima rawatan akibat jangkitan COVID-19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini dibenarkan keluar hospital selepas disahkan sembuh daripada virus berbahaya itu.

Mustapa dalam satu hantaran di laman Facebook berkata beliau telah dibenarkan keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini pada 4.30 petang.

"Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT setelah 12 hari bertarung di HRPZ II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat dan barisan hadapan, pada 4.30 petang ini saya dibenarkan keluar hospital.

"Terima kasih tidak terhingga kepada semua staf Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya di HRPZ II, ahli keluarga, sahabat handai dari seluruh pelusuk tanah air yang beri kata kata-kata semangat, ucapan dan doa," katanya.

Berkongsi pengalaman, Ahli Parlimen Jeli itu berkata sepanjang tempoh 12 hari di hospital, perkara yang paling mencemaskan ialah semasa berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga hari apabila terdapat sedikit masalah pernafasan dan kekurangan tenaga.

BACA: Mustapa Mohamed positif COVID-19


Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT setelah 12 hari bertarung di HRPZ II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat...

Posted by Mustapa Mohamed on Thursday, 21 January 2021

Bagaimanapun, dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat serta keyakinan penuh kepada ketentuan Allah SWT, keadaan beliau beransur pulih.

Mustapa berkata ketika ini, beliau perlu lebih banyak berehat, kurangkan bekerja dan tidak boleh bertemu ramai orang.

Sehubungan itu, beliau menasihati seluruh masyarakat agar selalu memakai pelitup muka, menggunakan pembersih tangan, mengamalkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelindung muka hendaklah dijadikan amalan sepanjang masa sehingga pandemik COVID-19 benar-benar pulih.

"Pengajaran: pandemik ini ketentuan Allah SWT supaya manusia insaf dan sedar betapa kerdilnya kita semua. Sepanjang pandemik COVID-19, kita perlu menjaga maslahah umum mengatasi kepentingan peribadi.

"Ancaman ini serius, perlu diambil berat oleh rakyat. Ketakutan kepada COVID-19 biar sebati dengan diri kita kerana kita masih belum memenangi peperangan ini. Semoga Allah SWT menyelamatkan negara kami, pemimpin-pemimpin kami dan semua rakyat daripada COVID-19," katanya.

Mustapa juga mengharapkan agar seluruh rakyat berdiri teguh di belakang kerajaan, KKM dan pihak penguatkuasa bagi mempertahankan nyawa serta kehidupan.

-- BERNAMA