Skip to main content

Malaysia

Muzium Negeri Pulau Pinang dibuka semula, masuk percuma sehingga 31 Ogos

GEORGE TOWN, 24 Julai -- Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib (dua, kiri) mencuba telefon lama yang dipamerkan di Muzium Negeri Pulau Pinang sambil diperhatikan oleh Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah (kiri) dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (dua, kanan) pada perasmian muzium berkenaan malam tadi.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ramli mencuba telefon lama yang dipamerkan di Muzium Negeri Pulau Pinang sambil diperhatikan oleh Raja Noora Ashikin dan Chow Kon Yeow pada majlis perasmian pembukaan semula muzium berkenaan di George Town, malam tadi. - Gambar Bernama
Advertisement

GEORGE TOWN: Selepas sembilan tahun ditutup bagi kerja pemulihan dan naik taraf, Muzium Negeri Pulau Pinang dibuka semula dengan wajah baharu, mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara dan memartabatkan sejarah, warisan serta budaya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek bernilai RM18 juta itu melibatkan dua fasa, iaitu kerja restorasi bangunan warisan bagi mengekalkan seni bina asal serta pembangunan ruang dalaman dan pameran baharu yang lebih moden dengan 15 ruangan bagi mempamerkan hampir 1,200 artifak berkaitan Pulau Pinang.

Beliau berkata, penggunaan teknologi seperti sistem projektor berteknologi tinggi, kiosk interaktif, simulator serta pengesan gerakan menjadikan pengalaman pembelajaran sejarah lebih menarik, inklusif dan berimpak tinggi, khususnya kepada generasi muda.

“Sejak dibuka pada 1965, muzium ini menjadi institusi penting dalam pemeliharaan sejarah negeri sebelum ditutup pada April 2017 bagi memberi laluan kepada kerja pemulihan dan naik taraf yang dilakukan secara menyeluruh.

“Dengan pendekatan pameran yang lebih segar dan interaktif serta kedudukan strategik di tengah-tengah George Town, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 2,500 pengunjung setiap bulan atau kira-kira 30,000 pengunjung setahun,” katanya pada majlis perasmian pembukaan semula muzium itu di sini malam tadi.

Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib dan hadir sama ialah isterinya, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai.

Chow berkata, kerajaan negeri percaya pemeliharaan warisan bukan sekadar memulihara bangunan atau menyimpan artifak, sebaliknya pelaburan jangka panjang dalam membentuk jati diri masyarakat, memperkukuh perpaduan dan menyemai penghargaan terhadap sejarah serta kepelbagaian budaya.

Sementara itu, Wong yang juga Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang berkata, konsep yang dibangunkan mengetengahkan elemen alam persekolahan sebagai tema utama, membolehkan pengunjung menghayati suasana pembelajaran zaman dahulu melalui susun atur serta gaya tatacara pameran.

Beliau berkata, elemen interpretasi disusun bagi menghidupkan kembali memori dan sejarah pendidikan serta pengenalan konsep muzium kontemporari dengan seksyen pameran berkonsepkan Rukun Negara, iaitu paksi kepada setiap rakyat Malaysia.

“Bangunan ini diiktiraf sebagai tapak warisan negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang dan Bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Justeru projek restorasi berskala besar ini bertujuan mengembalikan rupa bentuk asal selain memastikan pematuhan kepada piawaian kerja konservasi bangunan warisan,” katanya.

Wong berkata, sebuah lagi cawangan Muzium Negeri Pulau Pinang akan dibuka di Bangunan No. 57, Jalan Macalister pada September ini bagi menampilkan pameran yang memfokuskan kepelbagaian etnik di  negeri itu.

Beliau berkata, Muzium Negeri Pulau Pinang yang dibuka dari Sabtu hingga Khamis menawarkan kemasukan percuma kepada semua pelawat sehingga 31 Ogos.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement