Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), dalam menyokong gesaan kerajaan untuk memerangi kempen antiminyak sawit, telah mengeluarkan produk dengan label 'bebas minyak sawit" dari rak jualan rangkaian pasar rayanya di seluruh negara.

Pengarah Urusan Datuk Wira Ameer Ali Mydeen berkata pelabelan itu yang membawa maksud minyak sawit tidak baik, merupakan tindakan pemasaran tidak bertanggungjawab, dan sebagai pasar raya utama yang bertanggungjawab di Malaysia, Mydin tidak akan menyokongnya.

"Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, apabila kerajaan membuat keputusan, kita perlu sokong keputusan itu, khususnya apabila ada pihak cuba melakukan sesuatu (yang negatif) kepada negara kita, adalah perbuatan tidak bertanggungjawab untuk kita tidak menyokongnya," katanya kepada pemberita pada pelancaran karnival "Sayangi Minyak Sawitku" anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia dengan kerjasama Mydin di sini, hari ini.

Karnival itu dilancarkan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

Berhubung kempen "Utamakan Beli Produk Keluaran Muslim", Ameer berkata walaupun beliau seorang Bumiputera dan akan mendapat manfaat daripada kempen seumpama itu, beliau berpendapat kempen itu tidak wajar diadakan kerana ia merupakan langkah tidak sensitif dan naif dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Sebaliknya, beliau berkata, semua rakyat Malaysia sepatutnya menyokong produk Muslim supaya dari segi ekonomi, Bumiputera boleh meningkat maju dalam perniagaan dan sekali gus seluruh negara mendapat manfaatnya.

Syarikat Bumiputera masih memerlukan bantuan untuk ia menjana keuntungan, katanya dan menurutnya sebaik sahaja mereka mampu berbuat demikian, ia akan membantu seluruh negara dari segi rantaian bekalan dan pembuatan.

Sementara itu, Kok memberitahu pemberita bahawa langkah berani Mydin mengeluarkan produk dengan label 'bebas minyak sawit' daripada rak jualannya wajar dipuji dan beliau berharap pasaraya dan peruncit yang lain turut mengikut langkah itu.

Katanya kerajaan Indonesia turut mengharamkan produk makanan dengan label itu, seperti diumumkan pada 21 Ogos tahun ini, dalam usahanya untuk melindungi komoditi itu daripada pemasaran negatif.

Kok berkata kementeriannya telah memaklumkan berhubung kemungkinan mengambil langkah serupa kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berikutan perkara itu terletak di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan, dan beliau percaya perkara itu sedang dokaji.

-- BERNAMA