Skip to main content

Bisnes

Taksiran tambahan LHDN meningkat RM4.4 billion sehingga 30 Jun

51727768316_AbuTariq.jpg
Abu Tariq berkata jumlah itu mencerminkan komitmen agensi berkenaan dalam melindungi hasil negara, menangani ketidakpatuhan serta memperkukuh integriti sistem percukaian. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya meningkatkan taksiran tambahan berjumlah RM4.4 bilion sehingga 30 Jun lepas menerusi aktiviti audit dan pematuhan strategik berasaskan risiko.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abu Tariq Jamaluddin berkata jumlah itu mencerminkan komitmen agensi berkenaan dalam melindungi hasil negara, menangani ketidakpatuhan serta memperkukuh integriti sistem percukaian.

Beliau berkata aktiviti audit dan pematuhan akan terus diberi tumpuan bagi mengesan serta menangani kes ketidakpatuhan yang signifikan, termasuk pelarian cukai dan perancangan cukai agresif.

"Pendekatan ini penting bagi memastikan keadilan sistem percukaian dipelihara dan setiap pembayar cukai memenuhi tanggungjawab mereka secara saksama.

"Hasil daripada usaha berterusan ini, sehingga 30 Jun 2026, LHDN telah berjaya membangkitkan taksiran tambahan berjumlah RM4.4 bilion yang mencerminkan komitmen HASiL dalam melindungi hasil negara dan memperkukuh integriti sistem percukaian," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Kewangan I, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

Abu Tariq berkata usaha memperkukuh pematuhan percukaian bagaimanapun dilaksanakan seiring dengan perlindungan hak pembayar cukai yang kekal menjadi keutamaan LHDN.

Menurut beliau, pembayar cukai diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan rayuan dan menyelesaikan pertikaian percukaian melalui Jabatan Resolusi Pertikaian.

Jelasnya lagi, platform berkenaan membolehkan pertikaian diselesaikan secara profesional, adil dan berkesan, selain LHDN bersikap positif terhadap kes yang dibawa ke mahkamah oleh pembayar cukai.

"Pendekatan ini dapat memperkaya literatur percukaian melalui peningkatan kepastian dalam pentafsiran dan pemakaian undang-undang percukaian," ujarnya.

Dari perspektif tadbir urus, Abu Tariq menambah setiap kes pembayar cukai tertakluk kepada semakan dan pertimbangan menyeluruh di peringkat cawangan, negeri dan ibu pejabat sebelum sesuatu taksiran dibangkitkan.

Beliau berkata proses itu memastikan setiap keputusan dibuat secara telus, objektif dan berlandaskan undang-undang, sekali gus mengukuhkan keyakinan pembayar cukai terhadap sistem percukaian.

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Tariq berkata LHDN turut memperkukuh pendigitalan pentadbiran duti setem menerusi pembangunan sistem yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam penentuan jenis surat cara serta duti setem yang boleh dikenakan.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan selaras dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) mulai 1 Jan 2026 bagi membantu pembayar cukai mengenal pasti kategori dan jenis surat cara dengan lebih tepat.

Must Watch Video

Advertisement