GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan tiga individu warga tempatan disyaki menceroboh Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) di struktur Jambatan Pulau Pinang di sini, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata penahanan itu dilakukan ketika anggota bot peronda membuat rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang pada 1.30 tengah hari.
Beliau berkata pemeriksaan di kawasan kaki tiang Jambatan Pulau Pinang mendapati dua lelaki dan seorang wanita berada di kawasan yang diwartakan sebagai KLTL tanpa kebenaran.
“Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL).
“Mereka telah ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Suffi berkata kawasan di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan KLTL yang meliputi zon penampan sejauh 250 meter di sebelah kiri dan kanan jambatan.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti maritim serta orang awam mengenai kepentingan mematuhi kawasan larangan yang diwartakan.
-- BERNAMA