KUALA LUMPUR: Melihat seakan-akan wujud ketegangan antara kaum, rentetan isu stoking tertera kalimah Allah di KK Mart, Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA) menyeru semua pihak untuk menggunakan pendekatan balas, kedaulatan undang-undang, dan mekanisme institusi.

Dalam kenyataan media sempena kempen #MZB365, institusi itu berkata, pendekatan tiga hala itu penting bagi meneutralisasi ketegangan yang wujud.

Ia berkata, penggerak etno-agama akan menggunakan segala peluang yang ada untuk mengekalkan teori konspirasi bahawa golongan Muslim yang merupakan kaum majoriti di negara ini kerap tersinggung dengan golongan minoriti, dan kemaafan itu adalah simbol kelemahan.

“Mereka tidak akan terhenti dengan isu KK Mart. Selepas ini mereka akan mencari bukti lain bahawa Muslim mudah tersinggung. Jadi pendekatan balas yang sesuai – iaitu kemaafan – merupakan kaedah terbaik untuk mengurangkan pengaruh Kumpulan penggerak ini,” menurut Projek SAMA lagi.

Baru-baru ini, negara diuji dengan kontroversi apabila beberapa pasang stoking tertera kalimah Allah dikesan dijual di salah satu cawangan KK Mart di ibu negara.

Rentetan itu, sebahagian besar masyarakat Islam menganggap ia merupakan satu penghinaan yang amat besar dan memboikot kedai serbaneka tersebut.

Beberapa individu telah didakwa di mahkamah, termasuk Pengasas / Pengarah Eksekutif KK Mart Sdn Bhd, Datuk Seri KK Chai, serta pengurusan syarikat pengimport stoking tersebut, Xin Jian Chang Sdn Bhd.

Selain itu seorang individu telah dipenjara enam bulan dan didenda RM12,000 kerana membuat provokasi, manakala Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh turut disiasat di bawah Akta Hasutan.

Dalam pada itu Projek SAMA berkata, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang perlu dikuatkasakan sebaik-baiknya dalam menangani isu yang sensitif seperti ini.

“Serangan bersiri (di tiga cawangan KK Mart) mencadangkan ia bukan tindakan secara rawak, tetapi lebih kepada niat menyemarakkan isu politik, agama, atau ideologi.

“Polis juga digesa untuk menyiasat mereka yang menyokong perbuatan tersebut. Polis disaran untuk menggunakan Seksyen 130G Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman untuk kesalahan menghasut, mempromosi, atau menggunakan aset untuk tujuan keganasan” katanya lagi.

Projek SAMA bagaimanapun tidak setuju jika Dr Akmal perlu disiasat di bawah Akta Hasutan, dan pihaknya sama sekali tidak terkejut bahawa ia seperti satu tindakan politik untuk meredakan kemarahan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

Pendekatan ketiga iaitu mekanisme institusi, menurut badan itu lagi, perlu mewujudkan mekanisma pelbagai parti yang merentasi kementerian untuk mengurus, mengurangkan serta menghalang ketegangan etnik-agama.

“Krisis KK Mart ini seperti di luar kawalan kerana sikap berdiam diri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awalnya, serta tiada tindakan awal daripada menterinya termasuk Menteri Perpaduan Datuk Seri Aaron Ago Dangan, Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

“Sementara pimpinan Perikatan Nasional tidak bersuara terhadap tindakan Dr Akmal, mereka sekurang-kurangnya boleh untuk tidak menyertai usahanya dalam melebihkan kaum tertentu sahaja,” menurut kenyataan itu lagi.

Bagi menangani dan menghentikan krisis seperti ini di masa akan datang, Projek SAMA berkata, Anwar harus mewujudkan Majlis Persekutuan tentang Hubungan Antara Komuniti, yang beliau sendiri pengerusikan, dengan Ketua Pembangkang, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah sebagai Naib Pengerusi.

Selain itu ia mencadangkan Menteri Perpaduan dan Menteri Hal Ehwal Agama untuk bertindak sebagai Pengarah Eksekutif bagi memantau mood dan sentimen orang awam, selain menyediakan menyediakan penyelesaian yang kena pada masanya.

“Penetapan merentasi kementerian akan membolehkan koordinasi yang lebih baik, dengan proses pembuat keputusan yang akan mengikat semua parti baik dalam Kerajaan mahupun Pembangkang daripada mengeksplotasi isu perselisihan antara kaum demi kelebihan mereka,” menurut Projek SAMA lagi.