KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mencadangkan kepada kerajaan supaya mengekalkan sekurang-kurangnya 36 ke 40 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di seluruh negara.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, meskipun ada permintaan untuk PKRC tersebut ditutup dan dikembalikan kepada agensi namun pihaknya berpendapat ada keperluan untuk semuanya dikekalkan buat sementara waktu.

Menurutnya, ia memandangkan ada negeri-negeri tidak mempunyai dewan yang cukup besar untuk menampung dan menyediakan rawatan sebaiknya buat pesakit COVID-19.

BACA: Nadma sedia aktifkan semula fasiliti di MAEPS

BACA: COVID-19: Loji pengisian oksiden di PKRC MAEPS pastikan bekalan oksigen stabil

“Kita sudah ada kertas cadangan tersebut tapi kita belum lagi bentang kepada kerajaan, akan dibentang dalam masa terdekat. Senarai itu kita sudah tentukan, cuma kita belum dapat bentangkan.

“Dulu kita nak adakan satu negeri satu PKRC tapi memandangkan saiz tidak sesuai, jadi kita cuba pelbagaikan sumber ini. Ia juga ada kaitan dengan peruntukan yang kita nak mohon kepada Kementerian Kewangan.

“Ini kerana ada beberapa keperluan yang kita nak bantu juga. Contohnya bila kes kategori 3, 4 dan 5, keperluan tabung oksigen dan sebagainya yang perlu kita bantu dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program PKRC Berselawat Sempena Setahun Pengoperasian PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 di sini pada Isnin.


COVID-19: Kadar penggunaan fasiliti kesihatan menurun

Dalam pada itu, Dr Aminuddin berkata, meskipun akan ada PKRC lain yang ditutup selepas ini namun PKRC di MAEPS Serdang akan terus dibuka buat masa ini.

Tambah beliau, secara keseluruhannya Malaysia pernah mempunyai 121 buah PKRC tetapi buat masa ini, hanya ada 66 buah masih kekal beroperasi.

“Di MAEPS Serdang, sekarang kita ada 578 orang pesakit. Kapasiti di sini, kita ada 1,500 buah katil untuk terima lagi pesakit kategori 3, 4 dan 5. Setakat ini kita mempunyai 1,000 orang petugas.

“Dulu di sini kita ada 1,800 kakitangan tapi sekarang berkurang kepada 1,000 orang. Pada masa ini, kita ada kira-kira 700 kakitangan dari Kementerian Kesihatan (KKM) dan selebihnya adalah daripada agensi lain,” ujarnya.

Dalam ucapan selepas program berselawat yang turut dihadiri petugas di MAEPS, Dr Aminuddin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan yang berkorban masa dan tenaga sepanjang pusat rawatan itu dibuka.