SERDANG: Bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 kali ini, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) tampil melancarkan dua produk pembajaan berskala kecil jenama Peladang khususnya bagi memenuhi keperluan tanaman isi rumah yang berkualiti tinggi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata Baja Sebatian 65 dan 45 keluaran syarikat subsidiari NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB) ini dijual dengan harga serendah RM10 sebotol. 

Jelasnya, Baja Tumbesaran Umum Sebatian 65 dan Baja Formulasi Hasil atau Tumbesaran Sebatian 45 merupakan baja bagi menggalakkan pengeluaran bunga dan buah yang berkualiti, membantu batang pokok menjadi kuat dan meningkat pertumbuhan akar aktif.

“Jadi kita cukup yakin majlis pelancaran  ini cukup bertepatan dengan masa dan waktunya untuk kita menggalakkan rakyat untuk mula bercucuk tanam dan melibatkan diri dalam pertanian.

“Selain itu, NAFAS juga telah menjadi salah satu organisasi yang membekalkan baja kepada para petani dan telah banyak membantu golongan bawahan terutamanya,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan majlis pelancaran baja berskala kecil jenama Peladang di Pentas Utama Dewan A di Taman Expo Agro Malaysia, Maeps, Serdang pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob; barisan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS; Pemangku Pengurus Besar NAFAS, Saripol Baharin Karim dan Pengurus Besar NBKSB, Zalifudin Md. Arshad.

Mengulas lanjut, Ahmad Hamzah berkata, baja itu dihasilkan melalui proses granulasi wap dan mengandungi keperluan nutrien utama yang lengkap mengikut formulasi baja serta  telah mendapat pensijilan dan diakreditasi dengan ISO 9001:2008, Standards Malaysia Accredited Laboratory (2006) dan juga SIRIM.

“Keluaran produk baja ini telah diiktiraf serta mendapat sijil SIRIM dan sebagainya. Malah baja ini  merupakan salah satu baja terbaik keluaran NAFAS,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Hamzah berkata produk tersebut boleh didapati di kedai-kedai input rangkaian Pertubuhan Peladang (PP) meliputi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta kedai-kedai input terpilih di seluruh Malaysia.

“Sebanyak 279 kedai telah ditubuhkan di seluruh negara dan pengguna juga boleh mendapatkan baja ini menerusi platform jualan dalam talian seperti Shopee,” katanya.

Dalam majlis sama, Ahmad Hamzah bersama Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob turut menyempurnakan jualan ‘Happy Hour’ dengan tawaran dua botol Baja sebatian 65 dan 45 dengan harga RM10 serta satu pek ayam sejuk beku 1kg dengan berharga RM5 satu pek.

Katanya, hasil daripada jualan Happy Hour itu sebanyak 20 botol baja dan 30 pek ayam sejuk beku berjaya terjual.

NAFAS | Lancar baja untuk tanaman isi rumah

*Artikel ini adalah kandungan berbayar